SEREMBAN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook secara terbuka menjemput caretaker Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk bersama-sama menaiki kereta api dari Stesen Kulai ke Johor Bahru pada Selasa depan.
Jemputan itu dibuat bersempena dengan pelancaran inisiatif baharu kementeriannya, iaitu Perkhidmatan KTM Komuter Selatan yang menghubungkan laluan dari Kulai ke Johor Bahru.
Anthony berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan politik atau keengganan pihak tertentu sebelum ini untuk duduk bersama DAP, beliau tetap berlapang dada demi kepentingan kemudahan pengangkutan rakyat.
”Selaku Menteri Pengangkutan, saya akan pergi ke Stesen Kulai pada tengah hari Selasa depan, akan mengambil kereta api sebagai tanda pelancaran dari Kulai sampai ke Johor Bahru.
”Saya nak jemput, sebagai caretaker Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz, saya jemput beliau sekali, duduk kereta api bersama saya.
“Walaupun dia kata dia tak nak duduk DAP, tak apa. Saya jemput dia, datang duduk sebelah mengambil kereta api KTM Komuter Selatan dari Kulai sampai Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai projek pengangkutan rel tersebut, Anthony menjelaskan bahawa perkhidmatan komuter itu dijayakan sepenuhnya dengan mengoptimumkan bajet dalaman kementerian tanpa memohon sebarang dana tambahan daripada Persekutuan.
”Kementerian Pengangkutan ada peruntukan sedia ada, kita akan lancarkan satu inisiatif baru… tanpa memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan, kita buat!” tegas beliau.
Menurut Anthony, pendekatan itu bukan sahaja melambangkan kecekapan tadbir urus kementerian, malah mencerminkan kematangan berpolitik yang mengutamakan kesabaran dan sinergi demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.










