Kes tuntutan ‘waris’ Sulu: Kemenangan Malaysia selari hak, undang-undang antarabangsa

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Rayuan Perancis yang memihak kepada Malaysia dalam kes membabitkan tuntutan kumpulan mendakwa waris Sulu disifatkan sebagai tepat, selaras hak dan undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kader berkata, keputusan itu menunjukkan tuntutan dikemukakan kumpulan terbabit membawa kepentingan pihak tertentu semata-mata.

“Saya bersyukur kerana keputusan Mahkamah Rayuan Perancis semalam, memihak kepada Malaysia. Ini menunjukkan kes untuk mempertahankan hak Malaysia adalah benar dan tepat, manakala di pihak satu lagi sebagai usaha membawa kepentingan pihak tertentu.

“Hal ini turut dikendalikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Kita berusaha dan melakukan pendekatan secara bersama kerana ia membabitkan proses di luar negara.

“Kita bekerja sebagai pasukan. Berkat kerjasama baik antara kementerian menghasilkan keputusan bermakna untuk Malaysia,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mahkamah Rayuan Perancis semalam, mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu yang sebelum itu diputuskan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa pada 2020.

Mahkamah Rayuan Perancis mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya.

Ia sekali gus memberi kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang, sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan Kumpulan Sulu.

BBerkaitan

Latest articles