Keputusan Tanding 56 Kerusi DUN Muktamad, Tiada ‘U-Turn’

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan tidak akan berganjak daripada keputusan untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meskipun landskap politik semasa terus berubah.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan tersebut bukan dibuat secara terburu-buru atau bersifat peribadi, sebaliknya telah dipersetujui dan mendapat restu penuh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Menurut beliau, pengumuman mengenai hasrat BN Johor bertanding di semua kerusi dibuat selepas mendapat persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain sokongan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Sebelum saya buat pengumuman itu, saya sudah mendapat ‘berkat’ daripada Datuk Seri Zahid. Sebab itu saya berani memberi komitmen terhadap angka tersebut,” katanya dalam audio siar Episod 200 Keluar Sekejap.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan berlaku perubahan keputusan susulan perkembangan hubungan politik antara pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH).

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menegaskan, keputusan untuk bertanding di semua kerusi DUN Johor akan diteruskan dan kekal menjadi pendirian rasmi BN negeri.

“Saya tidak akan membuat keputusan tanpa mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pucuk pimpinan,” katanya lagi.

Terdahulu, BN Johor mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang stabil, kukuh serta mampu memberi tumpuan penuh kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.

BBerkaitan

Latest articles