Hanya 3 Orang AJK Keluar Parti, Gerakan Didalangi Pemimpin Kecewa – Najwan Halimi

SHAH ALAM— Parti Keadilan Rakyat Cabang Shah Alam menegaskan cabang itu kekal utuh meskipun beberapa individu yang didakwa terdiri daripada pimpinan cabang mengumumkan tindakan keluar parti baru-baru ini.

Ketua KEADILAN Cabang Shah Alam, Najwan Halimi berkata pihak cabang telah menjalankan siasatan serta semakan terhadap senarai nama yang terkandung dalam kenyataan media berhubung tindakan keluar parti tersebut.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati hanya tiga Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang yang mengesahkan telah keluar parti secara sukarela.

“Kami mengambil maklum tentang laporan media terkait tindakan beberapa pimpinan KEADILAN Cabang Shah Alam yang telah mengisytiharkan diri keluar dari parti.

“Pihak cabang telah menjalankan siasatan dan semakan daripada senarai nama-nama di dalam kenyataan media yang mendakwa telah keluar dari parti dan mendapati hanya tiga orang AJK cabang yang mengesahkan telah keluar parti secara sukarela,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Najwan berkata pihaknya percaya tindakan kumpulan tersebut didalangi oleh seorang Ahli Parlimen KEADILAN yang didakwa kecewa susulan kekalahan dalam pemilihan parti bagi merebut jawatan di peringkat pusat dan cabang tahun lalu.

Beliau turut mendakwa cabang itu tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan parti di peringkat akar umbi.

“KEADILAN Cabang Shah Alam kekal utuh dan tidak akan tunduk dengan rencana makar oleh pemimpin yang bersifat gunting dalam lipatan,” katanya.

Pagi ini, media melaporkan ekumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang PKR Shah Alam bersama pimpinan wanita Cabang itu mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran mereka daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan media, kumpulan berkenaan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan ketua cabangnya, Najwan Halimi.

“Kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, khususnya terhadap Presiden Parti, susulan janji-janji reformasi yang dilihat tidak lagi diterjemahkan dalam amalan sebenar, serta kegagalan mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi dalaman yang pernah menjadi tunjang perjuangan PKR.

“Di peringkat cabang pula, kami turut kecewa dengan kepimpinan Ketua Cabang, YB Najwan Halimi, yang dilihat gagal mengamalkan prinsip konsultasi dan kebersamaan dalam membuat keputusan,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles