PUTRAJAYA — Kerajaan akan melaksanakan Program Biodiesel B15 di seluruh negara bermula 1 Jun ini sebagai langkah strategik memperkukuh keselamatan bekalan tenaga negara, mengurangkan kebergantungan terhadap diesel fosil import serta menyokong agenda tenaga hijau negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Dr. Noraini Ahmad berkata pelaksanaan peningkatan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkasa Program Biodiesel Negara yang dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2006.
Beliau berkata langkah berkenaan selaras dengan agenda peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), di samping memperkukuh penggunaan sumber domestik dan kestabilan industri sawit tempatan.
“Pelaksanaan B15 merupakan langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap diesel fosil import di samping menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang lebih mampan dan mesra alam,” katanya ketika berucap sempena Taklimat Media Pelaksanaan Biodiesel B15 di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Biojisim dan Biobahan Api Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Ir. Ts. Dr. Sang Yew Ngin berkata keputusan pelaksanaan B15 dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 14 April lalu sebagai salah satu pendekatan pengurusan permintaan tenaga negara.
Menurut beliau, langkah itu diambil susulan ketidaktentuan bekalan bahan api global akibat konflik geopolitik semasa termasuk ketegangan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran yang memberi kesan kepada laluan perdagangan di Selat Hormuz.
“Tujuan utama pelaksanaan B15 adalah untuk memanjangkan hayat bekalan bahan api negara ketika berlaku krisis bekalan global. Kita mahu memastikan ekonomi negara terus berjalan tanpa gangguan,” katanya.
Dr. Sang berkata biodiesel B15 merujuk kepada campuran 15 peratus palm methyl ester (PME) berasaskan sawit dengan 85 peratus diesel petroleum, dan pengguna diesel di Semenanjung Malaysia hanya perlu menggunakan nozel diesel sedia ada tanpa sebarang perubahan terhadap kaedah penggunaan.
“Kalau sebelum ini nozel hitam adalah B10, mulai 1 Jun nanti nozel yang sama akan menjadi B15. Kawasan yang sudah menggunakan B20 seperti Labuan, Langkawi dan Sarawak pula akan kekal dengan pelaksanaan sedia ada,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bekalan diesel di nozel biru akan terus menggunakan B7, manakala pelaksanaan B15 di nozel hitam akan dibuat secara berperingkat mengikut kawasan yang ditetapkan.
Mengulas aspek kesiapsiagaan, Dr. Sang berkata pelaksanaan B15 tidak memerlukan peningkatan besar terhadap infrastruktur kerana negara telah memiliki sistem pengadunan biodiesel sedia ada melalui 34 depot pengadunan di seluruh negara termasuk di Port Klang, Sepanggar Bay, Sandakan dan Tawau.
Katanya, kerajaan juga telah mengadakan sesi libat urus bersama pengeluar biodiesel, syarikat petroleum dan pemain industri bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan lancar.
Dalam pada itu, Dr. Sang menolak kebimbangan bahawa penggunaan biodiesel akan menjejaskan bekalan makanan negara kerana penggunaan minyak sawit bagi program biodiesel masih kecil berbanding jumlah keseluruhan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) negara.
Beliau berkata program B10 ketika ini hanya menggunakan kira-kira 0.5 juta tan CPO, manakala pelaksanaan B15 dianggarkan menggunakan sekitar 0.8 juta tan setahun berbanding pengeluaran tahunan negara sebanyak 18 hingga 20 juta tan.
“Jadi dakwaan bahawa biodiesel akan mengganggu bekalan makanan adalah tidak tepat kerana penggunaannya sangat kecil berbanding jumlah pengeluaran negara,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia kini mempunyai 19 pengeluar biodiesel aktif dengan kapasiti reka bentuk pengeluaran sebanyak 2.65 juta tan setahun dan biodiesel negara turut mematuhi piawaian tempatan serta antarabangsa termasuk Malaysian Standard (MS) dan standard Eropah EN14214.
Katanya, kajian bersama Japanese Automotive Manufacturers Association (JAMA) melibatkan pengeluar automotif seperti Toyota, Honda dan Nissan mendapati penggunaan biodiesel sehingga B20 tidak memberi kesan negatif terhadap enjin kenderaan.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut mengarahkan semua kenderaan diesel yang diimport ke Malaysia sejak 1 Januari 2020 supaya serasi dengan penggunaan biodiesel B20.
Dr. Sang berkata pelbagai projek rintis biodiesel turut dilaksanakan sebelum ini termasuk penggunaan B100 oleh Petronas dan Shell, penggunaan B20 di KLIA serta penggunaan biodiesel dalam sektor maritim, pihak berkuasa tempatan dan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Thailand juga sedang meningkatkan penggunaan biodiesel masing-masing sebagai langkah menghadapi cabaran keselamatan tenaga global, dengan Indonesia kini menuju pelaksanaan B50.
“Biodiesel bukan satu-satunya penyelesaian, tetapi ia antara pendekatan penting untuk membantu negara menguruskan krisis bekalan tenaga dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import,” katanya.










