KUALA LUMPUR: Kegiatan tidak bermoral melibatkan penganjuran parti dadah dan ‘gay party’ di sebuah hotel mewah di ibu negara terbongkar selepas polis menyerbu lokasi terbabit dalam operasi awal pagi semalam.
Operasi bersepadu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerusi empat siri serbuan bermula jam 2.35 pagi hingga 5 pagi.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 51 lelaki berusia antara 21 hingga 52 tahun ditahan dalam operasi berkenaan, membabitkan 23 warga tempatan dan 28 warga asing.
Menurut beliau, sebelum serbuan dilakukan, seorang lelaki dipercayai menghadiri parti tersebut dilaporkan rebah tidak sedarkan diri sebelum diusung keluar ke lobi hotel.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan sama, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk cecair MDMA seberat 1.15 kilogram (kg), serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi (8.56 gram), serbuk ekstasi (8.7 gram) serta ketamin (11.61 gram).
Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM103,070.
Hussein berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati 36 daripada individu yang ditahan positif dadah, manakala 15 lagi negatif.
“Semakan turut mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau memaklumkan semua suspek kini direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A, Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan pihak JSJN dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran, pemilikan atau melindungi kegiatan dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegas beliau.










