Kerja Siap Bayaran Tak Ada, Pemuda UMNO Tuntut Penjelasan PM

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mendedahkan punca sebenar di sebalik dakwaan peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak hampir RM1 bilion tidak disalurkan kepada kementerian terbabit.

​Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Salleh berkata, pihaknya menerima aduan hampir setiap hari daripada kontraktor di peringkat akar umbi yang berdepan masalah kewangan kritikal kerana masih belum menerima bayaran walaupun kerja-kerja projek telah siap dilaksanakan.

​Menurut beliau, isu tersebut terbongkar susulan jawapan daripada pihak Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW yang menyatakan hampir RM1 bilion bajet yang telah dibentangkan serta diluluskan tidak diberikan kepada kementerian berkenaan.

​”Kerja sudah buat, projek siap mengikut bajet yang dibentangkan dan diluluskan, tetapi mengapa peruntukan hampir RM1 bilion ini tidak diberikan kepada kementerian? Kerajaan sudah tak cukup duit ke, atau ada agenda lain di sebaliknya?” soal beliau.

​Beliau menambah, situasi itu menyebabkan ramai kontraktor di peringkat bawah teraniaya dan berdepan risiko besar akibat masalah aliran tunai yang meruncing.

​”Sudah hampir empat bulan berlalu, ramai kontraktor kita di bawah hampir bankrap, hampir gulung tikar, dan ada yang hendak disaman.

“Kerja sudah buat tetapi tidak dapat langsung bayarannya sehingga ke hari ini,” ujarnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles