Kerajaan Turunkan Had Laju Jalan Persekutuan Sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10 kilometer perjam (km/j) berkuat kuasa 18 hingga 27 Januari ini. 

Beliau berkata, had laju Jalan Persekutuan itu diturunkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Alexander, langkah itu dilaksanakan bertujuan meningkatkan keselamatan pemantauan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina Ahad ini. 

“Pewartaan pengurangan had laju sementara itu antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan.

“Justeru itu, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).

Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini dengan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ia termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ); Jabatan Kerja Raja (JKR); Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Alenxander berkata, Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan sentiasa memantau lokasi-lokasi yang dikenal pasti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Setakat ini, jelas beliau sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan dikenal pasti sepanjang tahun ini,” katanya.

Alexander menambah, sebanyak 53 lokasi blackspots melibatkan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara juga telah dibaiki pada tahun lalu, melibatkan kos berjumlah RM17.2 juta.

“Pembaikan yang dilaksanakan ini adalah bersifat penyelesaian kos rendah dan berimpak tinggi.

“Manakala bagi rekod pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap yang telah dilaksanakan di Jalan-jalan Persekutuan seluruh negara pada tahun 2022, sebanyak 40 lokasi telah dilaksanakan pemasangan lampu jalan dengan kos berjumlah RM4.7 juta.

“Program ini akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2023 supaya aspek keselamatan jalan raya dapat dipertingkatkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles