Pasangan Suami Isteri Mengaku Tak Bersalah Cuai Jaga Bayi Hingga Meninggal

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang juga pengasuh kepada bayi perempuan berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat kecuaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Lim Zhen Jie, 31, dan isteri Vivian Lau, 28, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rashidah Roslee setelah pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin ke atas mereka.

Kedua-dia pasangan itu dituduh melakukan pengabaian ke atas bayi berkenaan yang juga anak kepada seorang wanita warganegara Vietnam.

Mengikut kertas pertuduhan, Zhen Jie dan Vivian melakukan perbuatan itu ketika bayi berkenaan berada di rumah bernombor 26, Jalan Kejayaan 25, Taman Universiti, Skudai di sini antara 19 Mac hingga 25 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan denda tidak melebihi RM50, 000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Mohd Nasir.

Sementara itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 kepada setiap seorang kepada pasangan suami isteri tersebut dengan seorang penjamin warga tempatan.

Pasangan suami isteri itu juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah dan tidak dibenarkan menganggu saksi.

Bagaimanapun, Muhammad memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM6,000 hingga RM5,000 berikutan pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak berusia lima dan sembilan tahun yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan pasangan suami isteri berkenaan dikurangkan kepada RM8,000 setiap seorang.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan perubatan dan bedah siasat.

BBerkaitan

Latest articles