Faisal Lecur Tahap 4, Bakal Jalani Beberapa Pembedahan

KUALA LUMPUR: Faisal Halim mengalami melecur tahap empat lebih susulan disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Shahril Mokhtar ketika mengesahkan turut memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan pemain untuk segera pulih.

“Faisal kini masih lagi menjalani rawatan dan dia mengalami kecederaan melecur tahap empat,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, menurut laporan The Star, Faisal dilaporkan tidak dapat merasai tangan kirinya, selain pemain itu mungkin memerlukan beberapa pembedahan susulan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin, berkata Faisal bakal terlepas baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada awal Jun.

Memetik Bernama, beliau berkata pemain berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk pulih.

Semalam, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan itu cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Akhyar Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain berkenaan mengalami kecederaan.

BBerkaitan

Latest articles