Kerajaan Perpaduan Laksana Pelbagai Inisiatif Tingkat Ekonomi Rakyat – Fahmi

Kerajaan Perpaduan telah melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang tempoh tujuh bulan bagi memastikan ekonomi rakyat yang lebih baik merangkumi peningkatan elaun, bantuan persekolahan, akses Internet dan kesihatan.

Menerusi video siri pertama laporan tujuh bulan Kerajaan Perpaduan berdurasi tiga minit 54 saat, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil mengulas 19 inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkumi segenap lapisan masyarakat.

“Insya-Allah Kerajaan Perpaduan akan terus memastikan rakyat Malaysia mendapat lebih banyak manfaat menerusi inisiatif-inisiatif yang bakal diumumkan kelak,” kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital.

Inisiatif yang dilaksanakan antara lain menyaksikan penambahbaikan bantuan sedia ada serta pengenalan inisiatif baharu dalam usaha membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat.

Berikut adalah 19 inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan:

  1. Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ditingkatkan daripada RM1,000 sebulan kepada RM1,100 sebulan.
  2. Bantuan Awal Persekolahan meningkat kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini.
  3. Tiket percuma untuk pelajar dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
  4. Tiada bayaran untuk permohonan kemasukan ke universiti melalui UPU online berbanding RM15 sebelum ini.
  5. E-dompet untuk belia meningkat daripada RM150 kepada RM200.
  6. Bantuan Prihatin Rakyat yang kini dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah ditingkatkan sehingga RM2,500 berbanding sehingga RM1,800 sebelum ini.
  7. Pelepasan 130,000 rakyat daripada senarai muflis.
  8. Peningkatan elaun 35,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) kepada RM1,100 sebulan, berbanding RM1,000 sebulan sebelum ini.
  9. Imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir terima sumbangan RM600, berbanding RM500 sebelum ini.
  10. Bantuan Aidilfitri penjawat awam meningkat daripada RM500 kepada RM700.
  11. Pesara kerajaan sebelum ini mendapat bantuan Aidilfitri sebanyak RM250, kini RM350.
  12. Golongan B40 menikmati harga Internet jalur lebar RM69 sebulan menerusi Pakej Perpaduan, berbanding RM89 sebulan.
  13. Memperkenalkan perubatan percuma di klinik swasta terpilih (Skim Perubatan MADANI) serta insurans dan takaful rahmah serendah RM5 sebulan (Pakej RAHMAH Insurans dan Pakej RAHMAH Takaful).
  14. Memperkenalkan harga istimewa makanan siap serendah RM5 menerusi Menu RAHMAH.
  15. Diskaun sehingga 30 peratus untuk barangan mentah dan harian menerusi Jualan MADANI.
  16. Meningkatkan bantuan musim tengkujuh untuk pekebun daripada RM600 kepada RM800.
  17. Memperkenalkan bantuan khas Aidilfitri untuk pesawah, nelayan dan pekebun sebanyak RM200.
  18. Buat pertama kali, pesawah mendapat sumbangan tambahan RM250 seorang hasil agihan sumbangan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berjumlah RM60 juta.
  19. Buat pertama kali, 30 peratus keuntungan Bernas diberi terus kepada pesawah, tidak termasuk bantuan bulanan RM200 sebulan selama tiga bulan serta subsidi dan insentif harga padi, baja padi dan padi huma.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles