Kuala Lumpur :- Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, menggesa kerajaan menjelaskan siapa yang meluluskan penyahrahsiaan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung Datuk Seri Najib Razak dan bagaimana dokumen itu sampai kepada media serta ahli politik.
Dzulkifli, yang juga Presiden AMLAC Academy, berkata penjelasan itu diperlukan susulan laporan bahawa minit berkenaan dinyahrahsia bagi tujuan prosiding mahkamah, namun dilaporkan sudah berada dalam tangan media ketika dokumen itu dipercayai belum difailkan.
“Siapa memberikan akses? Siapa membenarkan pendedahan? Adakah ini pendedahan rasmi atau kebocoran tanpa kebenaran?” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysiakini pada 18 November melaporkan bahawa portal itu memperoleh minit berkenaan daripada satu sumber dan difahamkan dokumen itu dinyahrahsia bagi tujuan prosiding mahkamah berkaitan cabaran Majlis Peguam terhadap perintah tahanan rumah Najib. Menurut laporan itu, dokumen berkenaan dipercayai belum difailkan setakat pagi tersebut. Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, turut menyiarkan imej yang dikatakan petikan minit berkenaan di Facebook.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pula dilaporkan berkata perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.
Merujuk Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, Dzulkifli berkata kuasa menyahrahsia dokumen perlu disertai pertanggungjawaban apabila dokumen itu didedahkan kepada umum. Seksyen berkenaan membolehkan pihak yang diberi kuasa mengelaskan semula dokumen sehingga dokumen itu terhenti menjadi rahsia rasmi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong dirundingi atau perkenan baginda diperoleh sebelum minit itu didedahkan, memandangkan dokumen tersebut melibatkan prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Dzulkifli berkata Seksyen 2C tidak secara nyata mensyaratkan perkenan diraja, namun pada pandangannya, pertimbangan perlembagaan menuntut penghormatan terhadap institusi berkenaan.
Beliau meminta Jabatan Peguam Negara dan pihak berkuasa menjelaskan asas perundangan bagi pendedahan itu sekiranya ia dibenarkan, atau menjalankan siasatan sekiranya berlaku kebocoran.
“Jika pendedahan dibenarkan, nyatakan asas perundangannya. Jika berlaku kebocoran, siasat pihak bertanggungjawab,” katanya.










