KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan jaminan terhadap kepentingan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan penglibatan institusi itu dalam konsortium pengambilalihan Yinson Holdings.
Beliau membangkitkan persoalan mengenai tahap penelitian risiko yang dilakukan KWSP sebelum menyertai konsortium berkenaan, khususnya mengambil kira kedudukan kewangan Yinson yang dilaporkan mempunyai komitmen hutang berbilion ringgit.
Menurutnya, editorial The Edge Malaysia Weekly edisi 16 hingga 22 November 2026 mendedahkan Yinson mempunyai hutang jangka panjang sebanyak RM13.77 bilion, pinjaman jangka pendek RM2.58 bilion serta kos kewangan RM784 juta bagi tempoh enam bulan berakhir Julai 2026.
“Apakah penilaian risiko yang telah dibuat oleh KWSP sebelum menyertai konsortium tersebut?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Ahmad Fadhli berkata, perkara itu bukan sekadar urusan korporat biasa kerana turut membabitkan kepentingan institusi yang menguruskan simpanan persaraan jutaan rakyat Malaysia.
Beliau turut mengingatkan pengalaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang melabur RM163.4 juta dalam syarikat Indonesia, eFishery, yang kemudiannya terpalit skandal manipulasi kewangan.
Katanya, walaupun kedua-dua kes mempunyai latar belakang berbeza, pengalaman berkenaan sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan dan institusi pelaburan negara supaya memastikan penelitian wajar dilaksanakan sebelum sesuatu pelaburan diputuskan.
“Apakah jaminan bahawa penelitian wajar terhadap Yinson benar-benar mencukupi?
“Adakah kerajaan sudah menilai kemungkinan komitmen ini akhirnya menjadi satu bentuk bailout yang memberikan manfaat kepada pemegang saham yang menjual pegangan, sedangkan risiko jangka panjang ditanggung oleh pelabur yang kekal?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut penjelasan khusus mengenai nilai kepentingan KWSP dalam konsortium berkenaan, termasuk sama ada terdapat komitmen tunai tambahan, unjuran pulangan serta mekanisme perlindungan sekiranya prestasi Yinson merosot.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli mengakui penyertaan KWSP dalam konsortium itu tidak bermakna wang pencarum sudah mengalami kerugian.
“Ya benar bahawa penyertaan KWSP tidak dengan sendirinya membuktikan wang pencarum sedang mengalami kerugian, tetapi kerajaan wajib memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat berdasarkan kepentingan pencarum, bukan kepentingan mana-mana pihak lain,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan sebelum transaksi berkenaan dimuktamadkan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana persaraan rakyat.
“Jangan tunggu pelaburan bermasalah baru hendak menjawab persoalan yang sudah dibangkitkan hari ini.
“Wang persaraan rakyat menuntut penelitian, ketelusan dan akauntabiliti yang paling tinggi,” katanya.










