SHENZHEN: Proses penyahklasifikasian dokumen sulit bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya dilakukan menerusi saluran perundangan, termasuk melalui cabaran di mahkamah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan, dokumen asal Lembaga Pengampunan sememangnya dikategorikan sebagai rahsia, namun status itu boleh berubah sekiranya terdapat permohonan atau cabaran di mahkamah yang membuka ruang kepada proses penyahklasifikasian.
Menurutnya, proses berkenaan juga tidak semestinya berlaku serta-merta kerana tarikh pelaksanaannya ditentukan kemudian.
Anwar berkata, pengalaman beliau sendiri ketika berdepan proses berkaitan Lembaga Pengampunan sebelum ini menunjukkan bahawa cabaran di mahkamah boleh melibatkan aspek prosedur, bukannya semata-mata mempertikaikan keputusan yang dibuat.
“Dokumen asal itu memang rahsia tetapi selalunya kalau dibawa ke mahkamah, dinyah (klasifikasi). Itu dalam kes saya dulu pun macam itu.
“Mula rahsia, tetapi sebaik sahaja ada cabaran mahkamah, masa saya dulu saya tidak cabar keputusan lembaga, saya cabar prosesnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026, di sini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata sebarang persoalan atau isu lain berhubung perkara itu boleh dibawa untuk dibincangkan dalam Jemaah Menteri.
Beliau mengulas perkembangan penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membincangkan permohonan pemberian tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.










