SHENZHEN: Permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan berhubung pantun yang mengandungi perkataan tidak sesuai ketika berbahas di Dewan Rakyat diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan peringatan supaya insiden seumpama itu tidak berulang.
Anwar menegaskan, anggota pentadbiran kerajaan perlu menjaga tutur kata dan mematuhi disiplin ketika menjalankan tugas rasmi, meskipun berdepan tekanan politik atau perbezaan pendapat.
Menurutnya, sebarang ketidakpuasan hati terhadap keputusan kerajaan boleh dibangkitkan menerusi saluran yang sewajarnya, termasuk dalam mesyuarat Jemaah Menteri, bukannya dengan cara yang bertentangan dengan tertib pentadbiran.
Beliau turut memberi amaran bahawa pelanggaran prinsip berkenaan pada masa depan boleh menyebabkan individu terbabit diminta melepaskan jawatan.
“Kalau selepas ini ada sesiapa yang melanggar kaedah ini, sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan untuk meletakkan jawatan kerana sistem kita tidak boleh berjalan begitu.
“Hendak tukar keputusan, boleh bawa dalam forum yang tertentu tetapi untuk kes khusus ini, saya ucap terima kasih dan menerima baik semangat yang ditunjukkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026, hari ini.
Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mengambil tindakan menegur perkara berkenaan bagi memastikan batas komunikasi dan hubungan dalam kalangan anggota kerajaan tidak terjejas.
Ahmad sebelum ini mengemukakan surat permohonan maaf rasmi kepada Perdana Menteri bertarikh 17 November, susulan pantun yang disampaikan ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat pada 16 November.
Dalam surat berkenaan, beliau mengakui penggunaan perkataan dalam pantun itu tidak wajar dan tidak mencerminkan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.










