Saarani Tegur Penyebar Berita Palsu Isu Pembubaran DUN Perak

BATU GAJAH: Penyebaran berita palsu kononnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah boleh mengundang kegusaran rakyat serta mengganggu persiapan pentadbiran, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau menegaskan orang ramai perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya, terutama berita yang melibatkan institusi diraja dan urusan kerajaan.

Saarani berkata, dakwaan pembubaran DUN itu turut mengejutkan barisan Exco negeri apabila berita berkenaan tersebar ketika mereka sedang bermesyuarat di kediaman rasmi Menteri Besar baru-baru ini.

Menurutnya, pembubaran DUN bukan perkara kecil kerana ia memerlukan persiapan menyeluruh melibatkan polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pejabat daerah serta petugas di peringkat kampung.

“Pihak polis perlu bersiap siaga, SPR perlu membuat persediaan dan pejabat daerah perlu mengatur petugas pilihan raya.

“Malah, ketua-ketua kampung juga mungkin mula tertanya-tanya sama ada mereka masih memegang jawatan masing-masing pada bulan hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) 2026 di Kampung Seri Jaya, hari ini.

Saarani mengulas dakwaan kononnya beliau menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN negeri itu.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan berkenaan, selain memaklumkan pihaknya mengesan penyebaran grafik menyerupai siaran berita televisyen serta penggunaan semula bahan berita lama yang mengelirukan orang ramai mengenai status semasa DUN Perak.

Beliau mengingatkan masyarakat agar tidak menjadikan media sosial sebagai saluran menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mencetuskan spekulasi politik.

BBerkaitan

Latest articles