Ismail Beri Bayangan Perkembangan Penting Esok

SEREMBAN: Selepas empat hari tidak muncul memberikan penjelasan berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini memberi bayangan perkembangan penting mungkin berlaku esok, ketika kemelut kepimpinan negeri itu masih belum menemui noktah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dipercayai akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap, esok.

Bagaimanapun, Ismail tidak mengesahkan secara langsung tujuan pertemuan berkenaan mahupun menjelaskan status terkini jawatannya ketika ditemui pemberita.

“Jumpa esok, empat hari tak dapat cari saya, esok cari saya… saya okay, sihat, Alhamdulillah. Terima kasih,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Zakat Negeri Sembilan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali.

Ismail, 67, sebelum ini dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada Isnin lalu, selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada Selasa menjelaskan peletakan jawatan berkenaan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada hari sama, Tuanku Muhriz dilaporkan menerima menghadap Ismail bagi membincangkan kemelut pentadbiran negeri itu, dengan pertemuan berlangsung kira-kira satu jam setengah, bermula 5 petang hingga 6.30 petang.

BBerkaitan

Latest articles