KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertimbangkan penangguhan operasi platform e-dagang Pinduoduo di Malaysia serta mengeluarkannya daripada ‘app store’ sehingga satu mekanisme anti-lambakan rentas sempadan yang berkesan diwujudkan.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata langkah itu penting bagi melindungi ekosistem pembuatan dan pengedaran tempatan serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) daripada ancaman persaingan tidak seimbang akibat kepesatan model Factory-to-Consumer (F2C) dari luar negara.
Menurut beliau, perkembangan pesat F2C membolehkan pengeluar luar menjual terus kepada pengguna pada harga jauh lebih murah tanpa menanggung beban cukai, pemeriksaan pematuhan atau pensijilan kualiti yang setara dengan syarikat tempatan.
”Kita tidak boleh mengorbankan keseluruhan ekosistem pembuatan dan pengedaran negara hanya demi menikmati barangan murah dalam jangka pendek.
”Jika keadaan ini dibiarkan tanpa kawal selia yang mencukupi, pengilang tempatan, pemborong dan pengedar di peringkat hiliran bakal berdepan tekanan yang serius, malah berisiko menutup operasi yang akhirnya memberi kesan kepada pekerja dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tan menegaskan bahawa 98 peratus perusahaan di Malaysia terdiri daripada PKS yang menyumbang hampir separuh kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta peluang pekerjaan negara.
Namun, sektor ini kini terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi rentas sempadan yang menikmati kelebihan dari segi skala operasi, percukaian dan kawal selia.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah awal menangguhkan operasi platform berkenaan sementara menunggu dasar anti-lambakan rentas sempadan dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, Tan mengemukakan dua cadangan dasar utama iaitu melaksanakan keperluan penyimpanan data tempatan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan Akta Keselamatan Siber bagi mempertahankan kedaulatan data negara.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Malaysia mewajibkan kerjasama dengan industri tempatan seperti yang dilaksanakan oleh India, di mana platform e-dagang rentas sempadan disyaratkan bekerjasama dengan pengilang, pembekal dan penyedia logistik tempatan, di samping menyumbang kepada pemindahan teknologi serta latihan PKS.
”Setiap platform yang beroperasi di negara ini mesti memenuhi dua prinsip utama, iaitu menyumbang kepada pembangunan industri tempatan dan menjamin keselamatan data negara.
”Langkah ini bukanlah bertujuan mengamalkan dasar perlindungan secara membuta tuli, sebaliknya satu tempoh penyesuaian bagi memastikan PKS tempatan dapat bersaing dalam persekitaran yang adil, telus dan seimbang,” tambah beliau.










