KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai status Taiwan yang didakwa boleh menjejaskan kepentingan diplomatik, ekonomi dan strategik Malaysia.
Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, walaupun Malaysia kekal berpegang kepada Dasar Satu China, ia tidak bermakna kerajaan perlu membuat kenyataan yang melampaui pendirian diplomatik sedia ada.
Menurut Ahli Parlimen Machang itu lagi, kenyataan sedemikian berisiko menjejaskan hubungan ekonomi penting antara Malaysia dan Taiwan yang kini merupakan rakan dagang kelima terbesar negara dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM176.1 bilion.
“Dasar Satu China tidak mengharuskan Malaysia menyokong, membenarkan atau mengesahkan penggunaan pencerobohan tentera dalam menyelesaikan isu China dan Taiwan.
“Malaysia bebas mengekalkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mana-mana pihak berteraskan kepentingan nasional, namun itu tidak bermakna kita perlu memihak dalam kaedah penyelesaian konflik berkenaan.
“Oleh itu, tiada keperluan untuk Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan seolah-olah mengesahkan penggunaan kekuatan ketenteraan atau memihak. Terdapat perbezaan jelas antara menghormati Dasar Satu China dan menyokong penggunaan kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Wan Ahmad Fayhsal juga menggesa kerajaan agar memberikan penjelasan sama ada kenyataan Perdana Menteri itu mencerminkan pendirian rasmi Kabinet atau sekadar pandangan peribadi beliau.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan sebagai sebuah negara yang berasaskan nilai demokrasi dan kedamaian, dasar luar Malaysia sepatutnya menekankan dialog serta penyelesaian pertikaian secara aman, bukannya gagasan yang melibatkan unsur ketenteraan.
“Sebarang peningkat ketegangan di Selat Taiwan akan memberi kesan serius kepada ASEAN, keselamatan wilayah, kestabilan maritim dan rantai bekalan global. Malaysia sepatutnya mempromosikan penurunan ketegangan, bukannya menyumbang kepada geseran yang diuji secara tidak perlu.
“Dari sudut ekonomi, implikasinya sangat nyata. Rantai bekalan semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim amat bergantung kepada komponen dari Taiwan, manakala sektor pekerjaan berkemahiran tinggi turut terdedah kepada risiko kestabilan perdagangan.
“Selain itu, beribu pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke Taiwan setiap tahun, dan Taiwan juga merupakan pembeli jangka panjang gas asli cecair (LNG) dari Bintulu, Sarawak,” jelas beliau.
Sehubungan itu, PN mendesak Perdana Menteri agar bertindak dengan lebih berdisiplin, berhati-hati dan bertanggungjawab apabila menyentuh isu-isu sensitif berkaitan dasar luar negara.
“Dasar luar bukanlah pentas untuk kenyataan santai. Kepimpinan yang matang menuntut ketelitian dan pertimbangan yang wajar, bukannya kesilapan diplomatik yang sepatutnya boleh dielakkan,” tegasnya.










