Kementerian, Agensi Berkaitan Digerakkan Bantu Mangsa Banjir – PM

KUALA LUMPUR: Setiap kementerian dan agensi berkaitan digesa menggerakkan aset masing-masing bagi membantu mangsa dan kawasan yang terjejas akibat banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi menggunakan aset pasukan keselamatan terbabit, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba dan agensi sokongan berkaitan untuk memindahkan mangsa banjir di pusat pemindahan segera (PPS).

Aset juga bertujuan memastikan bekalan makanan, keperluan dan khidmat kesihatan disediakan segera di PPS.

“Pada Jumaat (semalam), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memberi taklimat mengenai keadaan banjir melanda beberapa negeri susulan hujan lebat secara berterusan.

“NADMA juga diminta bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka mempunyai maklumat mangsa banjir dan ia dapat menyegerakan pelaksanaan pemindahan serta bantuan.

“Saya juga mengarahkan NADMA menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap, selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi terbabit,” katanya menerusi hantaran Facebook, sebentar tadi.

Dalam masa yang sama Ismail Sabri turut mengingatkan mereka yang berada di kawasan terjejas banjir supaya patuh arahan berpindah oleh pihak berkuasa.

“Jaga keselamatan diri dan keluarga. Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah serta tindakan dilaksanakan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles