KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum boleh memulakan proses rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selagi belum menerima notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya mengambil maklum pengumuman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bahawa DUN negeri itu akan dibubarkan berkuat kuasa esok.
Namun, katanya, SPR masih menunggu notis rasmi daripada Speaker DUN Melaka sebelum mesyuarat khas berkaitan PRN berkenaan diadakan.
“SPR mengambil maklum mengenai pengumuman pembubaran DUN Melaka yang berkuat kuasa esok,” katanya.
Menurut Ramlan, mesyuarat khas itu akan menentukan perkara penting berkaitan PRN Melaka, termasuk tarikh penamaan calon dan pengundian awal.
Terdahulu, Ab Rauf mengumumkan DUN Melaka akan dibubarkan berkuat kuasa Rabu bagi membuka laluan kepada PRN ke-16 selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan selepas pembubarannya, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perlembagaan Negeri Melaka.










