Kelulusan Penubuhan Lapangan Terbang Kulim Masih Dalam Tindakan

KUALA LUMPUR: Status kelulusan penubuhan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) masih dalam tindakan pihak KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) meminta beberapa maklumat lanjut berkaitan projek berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd diminta mengemukakan maklumat lanjut berdasarkan ulasan Kementerian dan agensi pusat terhadap permohonan penubuhan Lapangan Terbang Kulim untuk penelitian semula kerajaan.

Menurutnya, permintaan berkenaan dibuat menerusi surat MOT bertarikh 26 Mac 2025.

“Antara maklumat lanjut yang dipohon adalah pelan kontingensi kewangan yang merangkumi bajet simpanan dan dana kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan cabaran kewangan ketika pelaksanaan projek ini.

“Selain itu, KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd turut dimohon mengemukakan unjuran penyata kewangan dalam akaun yang diaudit kepada kementerian untuk penilaian selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tuan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai status terkini kelulusan penubuhan aerodrome bagi projek KXP dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambahnya, pihak syarikat turut diminta memberikan penjelasan lanjut berhubung permintaan dan komitmen kukuh bagi perkhidmatan kargo penuh untuk beroperasi di KXP.

“Sehingga kini, perkara ini masih dalam tindakan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles