40.77 Juta Kenderaan Berdaftar Sehingga Sept 2026, Hanya 65.3 Peratus Aktif

KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia mencecah 40.77 juta sehingga 30 September 2026, namun hanya 26.6 juta atau 65.3 peratus daripadanya berstatus aktif.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada jumlah kenderaan aktif itu, hampir 16 juta merupakan kereta manakala 9.57 juta adalah motosikal.

Menurutnya, jumlah berkenaan menunjukkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian masih tinggi.

“Sepanjang tahun 2025 pula, sebanyak 1.62 juta kenderaan baharu didaftarkan, termasuk kira-kira 847,000 kereta dan 703,000 motosikal.

“Pertambahan kenderaan persendirian meningkatkan masalah kesesakan jalan raya dan pendedahan kepada risiko kemalangan serta memanjangkan masa perjalanan, sekali gus menjejaskan produktiviti dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai kesan jangka panjang kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian serta perancangan kementerian bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan bandar utama lain pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambahnya, kebergantungan berterusan terhadap kenderaan persendirian turut meningkatkan kos perjalanan, pencemaran udara serta beban terhadap infrastruktur jalan raya.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan pendekatan bersepadu menerusi tiga strategi utama bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dan menangani kesesakan lalu lintas.

“Pertama, memperkukuh pengangkutan awam dan sambungan perjalanan.

“Di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, kerajaan terus memperluas rangkaian serta meningkatkan kekerapan dan kebolehpercayaan pengangkutan awam,” katanya.

Menurutnya, antara usaha berkenaan ialah pembukaan LRT Laluan Shah Alam atau LRT3 pada 29 Jun 2026 yang menghubungkan Bandar Utama dengan Johan Setia melalui Shah Alam dan Klang.

Laluan itu diunjurkan membawa kira-kira 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi serta mempunyai sambungan kepada LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang.

Katanya, akses ke stesen turut diperkukuh menerusi bas pengantara dan perkhidmatan van tempahan Rapid KL On-Demand bagi memudahkan perjalanan harian pengguna.

“Di Johor, perluasan perkhidmatan ETS hingga ke JB Sentral yang mula beroperasi pada 12 Disember 2025 menyediakan pilihan perjalanan antara bandar yang lebih mudah dan selesa serta mengurangkan keperluan menggunakan kenderaan persendirian.

“Jajaran ini bakal dihubungkan dengan perkhidmatan RTS Link antara Bukit Chagar dan Woodlands North yang disasarkan mula beroperasi pada suku pertama 2027,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut menyelaras pengukuhan perkhidmatan bas pengantara dan KTM Komuter Selatan bagi menyokong pembukaan RTS Link, selain menyediakan kemudahan Park and Ride serta sambungan pejalan kaki ke JB Sentral.

Bagi Pulau Pinang pula, katanya, kerajaan sedang membina LRT Laluan Mutiara yang dijadualkan mula beroperasi pada Disember 2031.

“LRT Laluan Mutiara akan menghubungkan kawasan utama seperti Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pusat bandar George Town dan Penang Sentral di Seberang Perai.

“Projek ini dijangka meningkatkan kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta penduduk di pulau serta komuniti di Seberang Perai, Kedah selatan dan Perak utara,” katanya.

Beliau berkata, infrastruktur itu turut bakal dimanfaatkan kira-kira 3.5 juta pengunjung termasuk pelancong yang mengunjungi Pulau Pinang setiap tahun.

Dalam pada itu, katanya, strategi kedua ialah mengurus trafik secara bersasar dengan sokongan infrastruktur dan teknologi.

Antaranya termasuk penyediaan lorong keutamaan bas, penambahbaikan persimpangan, penyusunan kawasan mengambil dan menurunkan penumpang serta penyediaan kemudahan pejalan kaki.

“Penggunaan teknologi turut diperkukuh, termasuk kecerdasan buatan untuk menyesuaikan tempoh lampu isyarat mengikut kepadatan trafik masa nyata.

“Selain itu, penggunaan kamera pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) yang diintegrasikan dengan sistem MySIKAP JPJ membolehkan pengesanan kenderaan yang mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau insurans tamat tempoh ketika bergerak,” katanya.

Jelasnya, pendekatan itu dapat mengurangkan keperluan memberhentikan kenderaan bagi pemeriksaan melalui sekatan jalan raya fizikal, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik.

Sementara itu, strategi ketiga adalah memperkukuh pengangkutan kargo melalui rel bagi mengurangkan kesesakan di jalan raya.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan bahagian pergerakan kargo melalui rel meningkat daripada enam peratus pada 2025 kepada 13 peratus menjelang 2030 di bawah agenda *Road to Rail* dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

“Peralihan ini membolehkan lebih banyak muatan diangkut menggunakan tren dan mengurangkan kebergantungan kepada lori bagi perjalanan jarak jauh.

“Langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas, di samping mengurangkan beban penyelenggaraan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, isu kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya diselaraskan pada peringkat tertinggi menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

“Jawatankuasa ini menyelaras tindakan kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan langkah yang dirancang dilaksanakan secara bersepadu demi perjalanan rakyat yang lebih selamat dan lancar.

“Kementerian Pengangkutan komited menangani kesesakan lalu lintas dan mengurangkan kemalangan jalan raya menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government),” katanya.

BBerkaitan

Latest articles