KUALA LUMPUR: Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa sedang melaksanakan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu dikatakan menjadi mangsa kekerasan fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Suhaily Mohd Zain.
Dakwaan itu dibawa oleh peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad daripada Cawangan Khas PDRM.
Menurut firma guaman yang mewakili kedua-dua anggota itu, insiden berkenaan bukan sahaja menyebabkan mereka mengalami kecederaan, malah berlaku ketika mereka berada di tempat awam dalam kapasiti sebagai penjawat awam yang sedang menjalankan tanggungjawab rasmi.
Firma itu berkata, status serta kedudukan AKPS tidak boleh disamakan dengan PDRM kerana kedua-duanya merupakan agensi berasingan yang mempunyai peranan dan bidang kuasa tersendiri.
Justeru, sebarang dakwaan penggunaan kekerasan terhadap anggota penguat kuasa yang sedang bertugas, menurut firma berkenaan, perlu disiasat secara serius tanpa mengambil kira pangkat atau kedudukan individu yang terbabit.
Dalam perkembangan sama, peguam turut menolak dakwaan bahawa kedua-dua anggota terbabit merupakan ‘ulat’ atau menjalankan aktiviti counter setting di KLIA ketika kejadian.
Mereka menegaskan, dakwaan berkenaan perlu dibuktikan dengan fakta dan tidak wajar digunakan sehingga menyebabkan tumpuan beralih daripada dakwaan utama yang kini berada dalam perhatian pihak berkuasa.
Firma berkenaan juga membangkitkan mengenai beberapa kenyataan yang didakwa disiarkan melalui media sosial serta saluran rasmi selepas kejadian.
Menurut mereka, kandungan kenyataan berkenaan didakwa tidak menggambarkan situasi sebenar berdasarkan keterangan yang diberikan oleh kedua-dua anak guamnya.
Atas alasan itu, firma tersebut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kenyataan terbuka secara sewenang-wenangnya ketika siasatan masih berjalan, khususnya jika kenyataan itu boleh mempengaruhi perjalanan atau persepsi terhadap kes berkenaan.
Dari segi perundangan, peguam memaklumkan bahawa keterangan yang sedang diserahkan kepada pihak berkuasa menunjukkan kejadian itu berpotensi mempunyai kaitan dengan beberapa peruntukan Kanun Keseksaan.
Antaranya ialah Seksyen 186 yang berkaitan tindakan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, selain Seksyen 323 berhubung perbuatan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Bagaimanapun, firma guaman itu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai keseluruhan bukti sebelum menentukan bentuk tindakan yang sewajarnya.
Kamal Hisham pada masa sama mahu siasatan dilakukan dengan segera, telus dan bebas, selain meminta semua pihak menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu proses berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa perlindungan terhadap hak, keselamatan dan maruah kedua-dua anggota PDRM perlu diberi perhatian sepanjang siasatan.
“Kedua-dua anak guam kami menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan tugas rasmi pada ketika kejadian dan berhak mendapat perlindungan serta keadilan di sisi undang-undang.
“Tiada sesiapa pun tanpa mengira pangkat atau kedudukan harus diletakkan di atas undang-undang atau dibenarkan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.










