Belum Ada Perintah Tahanan Rumah Dikeluarkan Di Bawah Undang-undang Khusus

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesahkan belum ada sebarang perintah tahanan rumah dikeluarkan di bawah undang-undang khusus mengenai tahanan rumah setakat ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu susulan penggubalan rang undang-undang berkaitan tahanan rumah masih dalam proses pemuktamadan dan semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Kerajaan pada dasarnya telah bersetuju untuk mewujudkan suatu kerangka perundangan bagi membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat-syarat tertentu dipertimbangkan untuk menjalani tahanan di rumah sebagai alternatif kepada penempatan di penjara sementara menunggu perbicaraan.

“Walau bagaimanapun, perkara berkaitan kewajipan pemasangan CCTV, pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus serta kategori pelawat yang dibenarkan masih belum dapat dimuktamadkan pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin mengetahui bilangan perintah tahanan rumah pernah dikeluarkan, termasuk bentuk pemantauan serta jenis pelawat yang dibenarkan, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurutnya, aspek berkenaan tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang masih dalam proses pemuktamadan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong adalah perkara berbeza daripada perintah tahanan rumah yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Tahanan Rumah.

“Pengampunan bersyarat merupakan prerogatif pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa pengampunan yang berkenaan.

“Oleh itu, sesuatu penempatan di rumah yang dibuat berikutan keputusan pengampunan bersyarat tidak boleh disamakan secara langsung dengan perintah tahanan rumah yang dikeluarkan mahkamah di bawah suatu akta khusus,” katanya.

Beliau berkata, bagi pengampunan bersyarat, apa-apa syarat berkaitan kawalan, pemantauan pergerakan, lawatan atau perkara lain adalah tertakluk kepada keputusan dan syarat yang ditetapkan serta prosedur pelaksanaan yang berkuat kuasa.

“Sebagai contoh, dalam pelaksanaan keputusan pengampunan bersyarat yang melibatkan banduan perlu berada di kediaman, aspek seperti lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan perlu diperincikan melalui prosedur operasi standard yang berkaitan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles