KUALA LUMPUR: Harga tong gas petroleum cecair (LPG) di Parlimen Baram, Sarawak pernah mencecah sehingga RM250 setong sebelum pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, menerusi program berkenaan harga LPG di kawasan pedalaman itu kini dapat dikawal pada RM26.60 setong.
Menurutnya, Baram antara kawasan terawal melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu sejak diperkenalkan pada 2009, bagi memastikan bekalan barang keperluan asas termasuk barangan bersubsidi dapat dinikmati penduduk di kawasan pedalaman.
“Sebagai contoh, sebelum adanya Program Pengedaran Barang Perlu, harga tong gas LPG di Parlimen Baram pernah mencecah RM250 setong, namun kini dapat dikawal pada harga kawalan RM26.60 setong,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Anyi meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah serta inisiatif kementerian bagi menjamin bekalan bahan-bahan subsidi dibekalkan dalam kuantiti dan kualiti dengan telus serta berintegriti di kawasan pedalaman Sarawak seperti Baram.
Fuziah berkata, kerajaan memperuntukkan RM250 juta pada 2026 bagi Program Pengedaran Barang Perlu yang melibatkan 1.03 juta penduduk di enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah.
Katanya, program itu melibatkan 212 zon, 828 kawasan pengedaran dan 1,532 pusat jualan.
“Khusus di Parlimen Baram, terdapat 139 pusat jualan, 24 zon dan melibatkan 75,593 penduduk,” katanya.
Beliau berkata, tujuh kategori barang keperluan diberi perhatian menerusi program tersebut iaitu LPG, beras, gula, tepung, petrol, diesel dan minyak masak.
Bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan penyelewengan, Fuziah berkata KPDN menetapkan prosedur operasi standard (SOP) kepada syarikat pengangkutan selain menubuhkan jawatankuasa khas pemantauan dan penyelarasan di peringkat kementerian serta negeri.
Katanya, pemeriksaan berkala turut dijalankan di lapangan dengan menugaskan pegawai pemantau harga dan pegawai penguat kuasa di lokasi pusat jualan.
“Sekiranya didapati ada ketidakpatuhan, tindakan akan diambil.
“Bagi kes di Baram, sehingga 30 September 2026, sebanyak 67 daripada 139 pusat jualan telah dipantau oleh KPDN,” katanya.
Menurutnya, KPDN turut menerima dua aduan membabitkan dua pusat jualan di Baram dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya menjual barang pada harga melebihi harga kawalan.
“Perkhidmatan pusat jualan tersebut ditamatkan serta-merta,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Anyi mengenai kadar bayaran kepada syarikat pengangkutan yang menghantar barang kawalan dan bersubsidi ke pusat jualan, Fuziah berkata pelantikan transporter dibuat menerusi proses tender.
Katanya, syarikat pengangkutan perlu mengemukakan sebut harga sebelum keputusan dibuat oleh lembaga tender.
Beliau menjelaskan kadar pengangkutan pula berbeza mengikut kawasan kerana ia bergantung kepada faktor logistik termasuk jarak perjalanan serta laluan sungai dan jalan raya.
“Subsidi ini adalah untuk pengangkutan dan pengedaran barang dari luar ke pusat jualan, bukannya untuk barang itu sendiri.
“Oleh itu, kadar bagi satu transporter tidak sama dengan transporter yang lain,” katanya.
Fuziah turut mengalu-alukan Anyi untuk bertemu dengannya sekiranya mempunyai aduan khusus berkaitan mana-mana syarikat pengangkutan atau kes yang disyaki mempunyai isu ketelusan.










