Kes Ahli Parlimen Jempol Masih Dalam Siasatan PDRM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan berhubung ucapan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang didakwa mengandungi unsur fitnah dan hasutan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PDRM telah membuka satu kertas siasatan susulan laporan polis Senawang/6876/26 pada 28 Julai 2026.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tindakan siasatan di peringkat awal telah dilengkapkan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Negeri Sembilan pada 21 Ogos 2026 untuk penelitian dan arahan selanjutnya.

“Pada 3 September 2026, kertas siasatan tersebut telah dikembalikan kepada PDRM dengan beberapa arahan lanjut untuk tindakan pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan sebab Ahli Parlimen Jempol belum didakwa di mahkamah berhubung dakwaan ucapan berunsur fitnah dan hasutan ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan perkara yang diarahkan sebelum kertas siasatan dikemukakan semula kepada PPN Negeri Sembilan untuk arahan selanjutnya.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) kekal komited dan memberikan jaminan bahawa PDRM akan terus menjalankan siasatan ini secara profesional, telus dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang ada tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mana-mana individu.

“Kerajaan sentiasa menghormati prinsip bahawa seseorang adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles