15,000 Pekerja Asing Tambahan Untuk Sektor Restoran Diproses Segera

KUALA LUMPUR: Pengusaha restoran yang berdepan masalah kekurangan pekerja bakal menerima kelegaan apabila kerajaan mempercepatkan proses pengambilan 15,000 pekerja asing tambahan bagi subsektor berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kuota tambahan itu sudah diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lalu susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung Julai.

Menurutnya, proses berkenaan kini sedang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selepas Pusat Sehenti (OSC) pengambilan pekerja asing dipindahkan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada kementerian itu.

“Jemaah Menteri bersetuju supaya KESUMA memproses segera perkara ini bersandarkan kepada kuota siling 15,000 yang sudah diluluskan serta-merta dan pastinya berdasarkan syarat serta kriteria ditetapkan untuk subsektor restoran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Kali Ke-22 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Presma Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Armizan berkata, kerajaan memahami kesukaran pengusaha restoran mendapatkan pekerja, namun pada masa sama perlu memastikan usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing terus dilaksanakan.

Katanya, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan menyasarkan kadar pekerja asing berbanding jumlah guna tenaga negara dikurangkan kepada 10 peratus menjelang 2030.

“Kebergantungan kepada pekerja asing ini juga ada kesannya, antaranya terhadap pertumbuhan kadar upah negara, produktiviti, pengaliran wang ke luar negara dan pendapatan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak Presma dan pemain industri bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencari pendekatan bagi mengurangkan kebergantungan berkenaan, termasuk menerusi penggunaan teknologi automasi dan mekanisasi.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha restoran tidak boleh dibiarkan melaksanakan peralihan itu secara bersendirian kerana ia memerlukan pelaburan dan kos yang tinggi.

“Restoran secara individu tidak boleh mencapai matlamat itu sendiri kerana ia melibatkan pelaburan yang juga mahal. Perlu ada bantuan kerajaan dan kerjasama industri.

“Kita boleh melihat bentuk mekanisasi dan automasi yang dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan dalam jangka panjang mengurangkan tekanan kos penggajian,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles