KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November lalu meluluskan cadangan pemberian insentif khas berjumlah RM15 juta sebulan kepada pengilang minyak masak kemasan botol bagi memastikan harga barangan keperluan itu kekal terkawal.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah berkenaan bertujuan mengekalkan harga siling minyak masak kemasan botol berkapasiti satu, dua, tiga dan lima kilogram susulan peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran global.
Menurutnya, kenaikan harga CPO serta beberapa faktor lain menyebabkan industri pengeluaran minyak masak kemasan botol berdepan tekanan sehingga terdapat pengilang yang menghentikan pengeluaran produk berkenaan.
“Jadi, kita meneruskan mekanisme ini dengan mengekalkan harga siling bagi minyak masak kemasan botol satu, dua, tiga dan lima kilogram, tetapi pada masa sama kerajaan akan memberikan insentif khas kepada pengilang yang mengeluarkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Kali Ke-22 di sini pada Rabu.
Hadir sama, Presiden Presma, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Armizan menjelaskan, sekiranya mekanisme berkenaan tidak dilaksanakan, harga minyak masak kemasan botol lima kilogram berpotensi meningkat sehingga RM34 berdasarkan harga CPO pada Oktober 2026 yang mencecah RM4,400 satu tan.
Bagaimanapun, menerusi pemberian insentif khas itu, harga produk berkenaan dapat dikekalkan pada paras tidak melebihi harga siling semasa iaitu RM30.90 bagi setiap lima kilogram.
Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang menyelaras pelaksanaan mekanisme berkenaan bersama Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata, keputusan itu merupakan antara langkah intervensi kerajaan bagi menangani tekanan kos sara hidup susulan konflik geopolitik yang menyebabkan perubahan harga serta gangguan bekalan di peringkat global.
“Keputusan ini tidak datang begitu sahaja kerana ia melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan. Kita menyasarkan sepanjang tempoh mekanisme kawalan harga minyak masak kemasan botol ini dilaksanakan, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan bagi insentif khas kepada pengilang sebanyak RM15 juta sebulan,” katanya.
Menurut Armizan, langkah itu juga selari dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan intervensi terhadap barangan keperluan asas bagi mengurangkan kesan kenaikan kos yang ditanggung rakyat.










