Jangan Heret Titah Sultan Selangor Ke Kancah Politik Sempit – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menggesa semua pihak agar tidak memanipulasi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah demi kepentingan politik sehingga mampu menggugat keharmonian rakyat dan kestabilan negara.

Menurut beliau, titah Sultan Selangor perlu difahami dalam konteks sebenar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kestabilan Malaysia sejak sekian lama, bukannya disalah tafsir sebagai arahan mutlak oleh pihak tertentu.

Katanya, dalam amalan Raja Berperlembagaan, setiap titah dizahirkan atas kebijaksanaan institusi diraja demi kepentingan negeri dan rakyat secara keseluruhan.

Terdahulu, Sultan Selangor menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati institusi diraja dan adab kesopanan.

Baginda bertitah, langkah itu penting bagi memastikan pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.

Dalam kenyataan sama, Tengku Zafrul yang kini Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri turut menjunjung kasih atas kesediaan Sultan Selangor menerima menghadap serta menghargai titah baginda yang menekankan kepentingan perpaduan rakyat demi kestabilan negeri dan negara.

Beliau turut merujuk penjelasan Dewan Di-Raja Selangor sebelum ini bahawa titah baginda bukan campur tangan politik, sebaliknya nasihat seorang Raja bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

“Tafsiran terhadap titah Tuanku perlu dilihat dalam semangat memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk negara ini, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kekuatan Melayu dan Islam tidak wajar dilihat secara sempit, sebaliknya perlu menjadi asas kestabilan negara yang turut menjamin kepentingan semua kaum dan agama.

Beliau menegaskan perjuangan mempertahankan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum lain, malah kekuatan sebenar negara terletak pada kemampuan rakyat hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak terus mempolitikkan isu berkenaan hingga mencetuskan ketegangan antara pemimpin serta merosakkan keharmonian rakyat di Selangor.

Katanya, Malaysia ketika ini lebih memerlukan politik matang dan kestabilan terutama ketika dunia sedang berdepan cabaran krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global.

“Tumpuan harus diberikan kepada usaha memperkukuhkan institusi, mempererat perpaduan dan membina jambatan persefahaman antara kaum, bukannya meniup api perpecahan yang akhirnya merugikan negara sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles