KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa walaupun kedua-dua kawasan itu telah diisytiharkan kosong baru-baru ini.
Keputusan tersebut dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kekosongan luar jangka melibatkan kerusi P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kedua-dua kerusi berkenaan dikosongkan mengikut Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan, namun tiada keperluan untuk diisi melalui PRK.
Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kekosongan tersebut tidak perlu diisi.
“Sehubungan itu, SPR tidak akan menjalankan PRK bagi Parlimen Pandan dan Setiawangsa,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Johari mengesahkan menerima notis peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa Isnin lalu.
Tindakan dua bekas pemimpin kanan PKR itu mengejutkan banyak pihak selepas mereka mengumumkan keluar parti dalam satu majlis hala tuju politik di Petaling Jaya pada Ahad.
Dalam majlis sama, Rafizi dan Nik Nazmi turut memperkenalkan platform politik baharu sekali gus memberi bayangan perubahan besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Rafizi sebelum ini memaklumkan surat pengosongan kerusi telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala notis keluar parti pula diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh sehari selepas itu.
Pada masa sama, kedua-dua tokoh politik tersebut turut mengesahkan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (Bersama), sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai pembentukan blok politik baharu dalam arena politik negara.










