KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran dimuat naik di Facebook yang didakwa menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan, pihak polis telah membuka kertas siasatan selepas menerima sebanyak 28 laporan polis dari seluruh negara berkaitan kenyataan tersebut.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam selain turut melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita sudah memulakan siasatan dan Tony Pua akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya.
Terdahulu, Tony Pua menerusi hantaran di Facebook menjelaskan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa raja tertumpu kepada aspek tertentu termasuk adat Melayu, agama Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Beliau turut menyatakan kesetiaan kepada Raja dan Negara serta menegaskan kedaulatan undang-undang berasaskan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Kenyataan itu dimuat naik tidak lama selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu supaya hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk membaca semula Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati institusi diraja.










