JELI: Aktiviti dipercayai melombong emas berakhir tragedi apabila dua lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing tanah di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, pada Rabu malam.
Dalam kejadian sekitar jam 8.20 malam itu, seorang lagi individu dilaporkan terselamat.
Operasi menyelamat yang dijalankan anggota bomba turut berdepan cabaran apabila laluan ke lokasi terlalu sempit untuk dimasuki jentera berat, menyebabkan pasukan penyelamat menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 30-an berjaya ditemukan selepas operasi pencarian dijalankan, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tertimbus runtuhan tebing setinggi kira-kira dua meter.
Operasi tamat sepenuhnya lewat malam tadi.










