MIM Komited Perkukuh Kepimpinan Generasi Baharu

KUALA LUMPUR: Malaysian Institute of Management (MIM) menegaskan pembangunan kepimpinan berkualiti perlu diberi keutamaan ketika negara berdepan perubahan pesat dalam teknologi, pelaburan dan dunia pekerjaan global.

Presidennya, Datuk Yeoh Soo Min berkata, akses kepada maklumat semata-mata tidak cukup untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa, sebaliknya kebijaksanaan, pengalaman dan kepercayaan perlu dibangunkan secara berterusan.

Menurut beliau, walaupun kecerdasan buatan (AI) mempercepatkan akses maklumat dan mengubah landskap industri, elemen pertimbangan manusia masih menjadi faktor utama dalam kepimpinan.

“Teknologi mungkin mempercepatkan kerja, tetapi manusia masih membina kepercayaan, membuat keputusan dan membawa organisasi melalui perubahan,” katanya ketika sidang media ulang tahun ke-60 MIM di The Majestic Hotel Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1966, MIM telah memperkasa lebih sejuta profesional dan lebih 5,000 organisasi menerusi program pembangunan kepimpinan, pendidikan eksekutif, pensijilan profesional dan kerjasama strategik.

Dalam pada itu, Yeoh yang juga Presiden wanita pertama MIM berkata, Malaysia mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai pusat pembangunan kepimpinan dan pengurusan strategik di rantau ASEAN kerana memahami kepelbagaian budaya, pasaran dan hubungan serantau.

Katanya, pembangunan kepimpinan tidak boleh bergantung kepada formula global semata-mata, sebaliknya perlu disesuaikan dengan realiti tempatan dan serantau.

“MIM bukan mahu bersaing dari segi skala, tetapi mahu terus relevan dalam pembangunan kepimpinan negara,” ujarnya.

Sempena ulang tahun ke-60 itu, MIM turut memperkenalkan beberapa inisiatif sepanjang tahun termasuk penganjuran persidangan antarabangsa melibatkan pakar dari Malaysia dan ASEAN serta pelancaran buku khas memperingati sejarah dan sumbangan institusi tersebut.

Selain itu, MIM turut melaksanakan Program Pensijilan Pengurus Profesional MIM bagi membantu pemimpin dan pengurus meningkatkan kejelasan, akauntabiliti dan impak dalam organisasi masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, organisasi di Malaysia perlu melihat pelaburan dalam pembangunan kepimpinan sebagai satu keperluan dan bukannya pilihan.

“Organisasi yang kukuh lahir daripada kepimpinan yang kuat, dan organisasi yang kuat membantu membina negara yang lebih kuat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles