KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai mengurung, mengikat serta meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32, bakal dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat selepas polis menerima arahan pendakwaan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek yang bekerja sebagai pemungut hutang itu akan dituduh secepat mungkin susulan kelulusan arahan pertuduhan yang diterima pihak polis.
Menurut beliau, proses pendakwaan kini sedang diselaraskan dan pihak media akan dimaklumkan sebaik sahaja pertuduhan dibuat di mahkamah.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Terdahulu, suspek diberkas di sebuah bilik sewa di Kuala Lumpur sebelum direman selama tiga hari sehingga Selasa lalu. Tempoh tahanan reman itu kemudian disambung lima hari lagi bagi melengkapkan siasatan kes.
Polis turut mendedahkan lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dipenjarakan sebelum dibebaskan pada April tahun lalu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki menjadi mangsa penderaan selepas dipercayai dikurung dan diliwat oleh suspek dalam kejadian yang berlaku pada 12 Mei lalu di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning.
Hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan memperdayakan mangsa dengan menawarkan pakej internet telefon bimbit sebelum mengajak remaja itu datang ke rumahnya kononnya untuk membantu mengangkat barang.










