Jamawi Mahu Selesaikan Isu Pembangunan Luar Bandar

KOTA KINABALU : Isu pembangunan luar bandar akan menjadi tumpuan utama buat calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar,48, yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong itu berkata, isu pembangunan khususnya prasarana sekolah-sekolah daif dan sebagainya dijangka akan dijadikan sebagai isu kempen pihak pembangkang.

“Isu seperti ini akan dijadikan sebagai isu kempen pihak pembangkang kononnya kita telah merdeka lebih 60 tahun tapi BN masih membawa keadaan prasarana yang amat mendukacitakan.

“Jadi bagi saya ini satu cabaran. Sebagai pemimpin muda, kita sudah lama juga melaungkan perkara ini dan ini makanya pada hari ini satu peristiwa yang bersejarah di antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersatu hari dalam menghadapi cabaran dan pemerintahan negeri Sabah.

“Ini bagi membolehkan kita berpadu dan membawa Sabah ini untuk lebih bersuara lebih besar di peringkat Persekutuan,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon BN dan GRS di sini semalam.

Majlis pengumuman calon BN dan GRS diumumkan bersama Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Jamawi yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) berkata, kemenangan yang lebih besar antara gabungan BN dan GRS diyakini akan mampu mendapat tempat dalam pembentukan Kabinet akan datang.

“Saya percaya bahawa bakti saya bukan bermusim, saya bersama dengan masyarakat sejak saya menjadi Ketua Pemuda UMNO lagi dan sebelum ini juga saya merupakan pegawai pertanian di kawasan tersebut.

“Isu Tenom ini adalah berkenaan dengan keperluan untuk masyarakat kampung mempunyai teknologi pertanian berpenghasilan tinggi dan juga komoditi pertanian yang boleh kita pasarkan di kawasan yang lebih sesuai termasuk luar negara,” katanya.

Ketika ditanya untuk berdepan dengan calon Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (PKDM) Datuk Peter Anthont di kerusi Parlimen Tenom, Jamawi berkata, beliau bersedia untuk berdepan cabaran pada PRU-15.

“Saya pernah bertembung dengan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dimana saya sendiri sebagai bidan terjun pada ketika itu dan saya telah memberikan persaingan yang cukup hebat.

“Saya yakin pada kali ini saya akan dapat mengatasi cabaran itu dengan memenangi kerusi Parlimen Tenom,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles