SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengetuai satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang menyasarkan sebuah premis di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya, selepas menerima maklumat awam berhubung aktiviti yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.
Operasi yang dijalankan pada jam 9.34 malam, 25 Jun lalu itu melibatkan kerjasama enam agensi penguat kuasa dengan kekuatan seramai 120 anggota.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, siasatan dijalankan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, melibatkan Seksyen 12(c) berkaitan penghinaan terhadap pihak berkuasa agama, Seksyen 13 berhubung penyebaran pendapat yang bertentangan dengan fatwa serta Seksyen 16 berkaitan penerbitan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Beliau berkata, operasi tersebut turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 226 individu berada di dalam premis berkenaan, terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak.
“Kesemua mereka merupakan warga asing dari Pakistan, India dan Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam operasi sama, MBSJ turut mengeluarkan Notis Pemberitahuan di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 terhadap pemilik premis berikutan beberapa ketidakpatuhan berkaitan pendirian serta pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Pemilik premis diberikan tempoh 14 hari untuk mematuhi arahan yang ditetapkan menerusi notis tersebut.
Mohd Shahzihan menegaskan JAIS akan terus memperhebat usaha membanteras penyebaran ajaran Syiah di Selangor dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang bercanggah dengan fatwa serta undang-undang syariah negeri.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ajaran Syiah supaya menyalurkannya kepada Hotline JAIS di talian 1800-88-2424 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Pada masa sama, umat Islam dinasihatkan agar menjauhi sebarang bentuk penglibatan dengan ajaran Syiah atau aktiviti yang bertentangan dengan hukum syarak.










