Isu ‘Sakau’ FELDA: PM Mahu Pengurus Akar Umbi Faham Masalah Sebenar, Bukan Sekadar Sebar Propaganda

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan tegas membabitkan penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap isu salah guna kuasa atau ‘sakau’ dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dibuat semata-mata demi memulihkan agensi itu, dan bukannya berniat untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Jelasnya, beliau mahu semua pengurus FELDA di peringkat akar umbi benar-benar menghadam dan memahami punca masalah serta isu legasi yang dihadapi agensi itu agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah luar.

“Isu ini bukan masalah nak korek atau nak membangkitkan (kesalahan), tidak. Saudara di lapangan tahu permasalahannya.

“Masalahnya bukan pengurus atau peneroka, tetapi pengurusan dan keputusan di tingkat atas.

“Saya mahu pengurus faham supaya jangan dengar propaganda dan penjelasan kononnya ‘tak ada masalah’, ‘ini perkara kecil’, atau ‘mana ada sakau’. Ini semua celoteh tidak bermakna. Yang nyata ialah kita hadapi masalah dan mesti bertindak,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Ramah Mesra Tertutup Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda di sini hari ini.

Menurut Anwar, bagi memastikan pengurusan FELDA dapat berkhidmat dengan lebih berkesan sebagai ejen komunikasi di peringkat komuniti, kerajaan komited menyelesaikan masalah asas pimpinan lapangan, khususnya perumahan pengurus yang uzur.

Sehubungan itu, kerajaan meluluskan peruntukan bernilai RM250 juta bagi membaik pulih perumahan pengurus FELDA dan pelaksanaan fasa awal akan dimulakan dengan segera tanpa perlu menunggu pengumuman Belanjawan 2027.

“Kalau soal bumbung rumah, tandas rumah, dinding rumah, parit sekeliling rumah, tak payah tunggu fasa, laksanakan segera untuk memudahkan kita.

“Saya umumkan, tapi yang betul bukan sekadar dengarkan. Saya tak nak reputasi datang janji-janji tak jalan. Saya bukan muda, saya mahu legacy, kita laksanakan amanah dengan sebaiknya,” kata Perdana Menteri.

Sebagai ganjaran kepada perhatian dan peruntukan yang disalurkan kerajaan, Anwar meminta para pengurus FELDA untuk bekerja lebih keras dan berintegriti bagi membina semula kemuliaan agensi penempatan semula berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang cuba memainkan isu perkauman atau agama apabila tindakan tegas diambil terhadap agensi seperti FELDA, Tabung Haji, atau Khazanah Nasional.

“Jangan jadikan ini sebagai permasalahan kaum atau agama. Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita ambil tindakan.

“Orang Islam, orang Melayu patut lebih sungguh-sungguh, lebih teliti dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai kerana kita patut jadi contoh,” ujar beliau.

Anwar meletakkan harapan tinggi agar seluruh jentera pengurusan dapat bersama-sama mengembalikan kegemilangan agensi tersebut.

“Saya tahu saudara kerja teruk dan kebanyakannya bekerja dengan jujur dan ikhlas. Pastikan tata kelola yang terbaik supaya FELDA ini bangkit semula sebagai agensi contoh dan kebanggaan negara kita Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles