KANGAR: Pakatan Harapan (PH) Perlis mengesyorkan penglibatan dan pemerkasaan majlis antara agama bukan Islam sebagai mekanisme terbaik dalam menguruskan penetapan hak serta pembinaan rumah sembahyang secara tertib dan munasabah di negara ini.
Pengerusinya, Noor Amin Ahmad berkata, pendekatan dialog menerusi wadah seperti Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mampu membolehkan penganut pelbagai kepercayaan mendapat tempat ibadat yang mencukupi tanpa melanggar undang-undang.
“Langkah ini boleh diperkasa menerusi pembentukan atau penglibatan majlis antara agama bukan Islam sebagaimana MCCBCHST yang wujud di Malaysia sejak tahun 1983.
“Ia pasti tidak sempurna, namun boleh menjadi wadah terbaik untuk memastikan hubungan agama dan kaum di negara kita dapat berlangsung dengan lebih baik, harmoni dan tertib,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan perobohan kuil di Bukit Lagi yang menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama.
Mengulas lanjut, Noor Amin menegaskan bahawa keadilan Islam merangkumi sudut yang luas, tidak hanya mempertahankan hak pemilik tanah tetapi juga memberikan keadilan dalam mengurus hak beragama bagi penganut lain.
“Keadilan Islam bukan sahaja dalam memberikan hak kepada yang berhak di mana pemilik tanah berhak mengambil semula tanah mereka dan penceroboh sepatutnya didakwa, malah ia juga diperlihatkan dalam mengurus penetapan hak pembinaan rumah sembahyang penganut agama lain.
“Saya percaya setiap agama dan kepercayaan tidak akan menyokong pencerobohan tanah awam mahupun persendirian.
“Justeru, pihak berkuasa boleh memanfaatkan siri pertemuan bersama majlis ini bagi memastikan hak beragama dipelihara seperti mana jaminan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa semua pihak agar mengendalikan isu tempat ibadat dengan pendekatan berhemah serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membakar emosi atau ditunggang bagi kepentingan politik.










