KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan sebuah organisasi jenayah terancang dari Nigeria, De Norsemen Kclub International (DNKI) atau lebih dikenali sebagai Vikings, dipercayai mula bertapak di Malaysia.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Sukri Kaman, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan maklumat berhubung kegiatan kumpulan berkenaan.
Beliau berkata, sebarang perkembangan lanjut mengenai siasatan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Untuk makluman, pihak kami masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dakwaan mengenai kewujudan kumpulan itu di Malaysia mula mendapat perhatian selepas satu hantaran di media sosial mendakwa organisasi berkenaan sudah melebarkan pengaruhnya ke negara ini.
Hantaran itu turut mendakwa sebahagian anggota kumpulan terbabit memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar sebelum direkrut menjadi ahli.
Malah, kegiatan mereka turut dikaitkan dengan beberapa aktiviti mencurigakan, termasuk perhimpunan yang memaparkan logo serta simbol dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi berkenaan.










