‘Ini Bukan Kemuliaan, Tetapi Amanah’ – Ismail Ikrar Tadbir Negeri Sembilan Dengan Integriti

SERI MENANTI: Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim menegaskan pelantikannya sebagai Menteri Besar ke-12 bukan satu penghormatan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan, integriti dan rasa tanggungjawab demi kepentingan agama, bangsa, negeri serta seluruh rakyat.

Ismail berkata, kepercayaan yang dikurniakan kepadanya membawa tanggungjawab yang amat besar dan akan dilaksanakan dengan penuh kesetiaan, kejujuran serta kebijaksanaan dalam mentadbir Negeri Sembilan.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

“Patik dengan penuh takzim dan rasa rendah diri merafak sembah menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku atas limpah perkenan dan kepercayaan yang dikurniakan kepada patik untuk memikul amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Pelantikan ini adalah suatu amanah yang amat besar dan penuh makna. Ia bukan kemuliaan yang boleh dibanggakan, sebaliknya tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Istiadat berkenaan turut disaksikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Turut berangkat dan hadir ialah Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam ucapannya, Ismail turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan yang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 semalam dengan memberikan mandat kepada kerajaan baharu yang dibentuk menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan mandat rakyat itu akan diterjemahkan melalui pentadbiran yang telus, adil dan berkesan, selain memastikan suara rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Kepercayaan yang diberikan rakyat bukan sekadar penghormatan, tetapi satu tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberi mandat akan bekerja bersungguh-sungguh, mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan berkesan,” katanya.

ADUN Juasseh itu turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya akan mengutamakan kebajikan rakyat serta berusaha menjadi pentadbiran yang sentiasa mendengar, berkhidmat dan bekerja demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Ismail merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran negeri.

Menurutnya, segala usaha dan pencapaian yang telah dibina akan menjadi asas penting untuk diteruskan dalam memastikan pembangunan serta kemakmuran Negeri Sembilan terus diperkasakan.

Beliau turut berikrar untuk terus memelihara kemuliaan institusi diraja, menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain sentiasa menjunjung titah, nasihat dan pandangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam melaksanakan urusan pentadbiran negeri.

BBerkaitan

Latest articles