KUALA LUMPUR: Desakan merombak Jemaah Menteri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membubarkan Parlimen, sebaliknya kerajaan perlu terus memberi tumpuan kepada agenda rakyat dan memastikan kestabilan politik negara terpelihara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kerajaan ketika ini masih mempunyai sokongan majoriti dan tidak perlu membuka ruang kepada ketidaktentuan politik baharu.
Fuziah yang juga Setiausaha Agung PKR menegaskan, keutamaan pentadbiran seharusnya tertumpu kepada usaha menangani peningkatan kos sara hidup, menjana peluang pekerjaan serta meneruskan agenda reformasi institusi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan pembubaran Parlimen sebagai langkah lebih baik berbanding rombakan Kabinet bagi mendapatkan mandat baharu.
Menurut Fuziah, rombakan Jemaah Menteri merupakan sebahagian daripada proses memperkukuh pentadbiran dan tidak sepatutnya mencetuskan semula episod ketidakstabilan politik yang pernah melanda negara.
“Perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin boleh dibincangkan. Tetapi jangan sampai percaturan politik mengganggu kestabilan yang sedang kita bina.
“Jangan kerana terlalu memikirkan soal kuasa dan kedudukan politik, kestabilan negara yang susah payah dibina hari ini sanggup digadaikan. Negara ini bukan medan untuk memenuhi percaturan politik mana-mana pemimpin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mengingatkan bahawa krisis politik sepanjang 2020 hingga 2022, ketika negara berdepan pandemik COVID-19, kehilangan pekerjaan dan peningkatan kos sara hidup, perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak.
Katanya, kestabilan politik amat penting bagi memastikan kesinambungan dasar, khususnya dalam usaha memperkemas tadbir urus, membanteras rasuah dan memperkukuh institusi negara.
Dalam pada itu, Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum ini berpandangan, mendapatkan mandat baharu melalui Pilihan Raya Umum (PRU) adalah langkah lebih wajar sebelum membentuk barisan Kabinet baharu.
Cadangan itu muncul ketika spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Jemaah Menteri semakin hangat susulan tamatnya penggal Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai senator pada 11 Disember ini, selain peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.










