Hutang RM260,000 Akibat ‘Love Scam’ Dipercayai Bawa Kepada Tragedi Empat Sekeluarga

KUALA LUMPUR: Tekanan akibat kerugian dan hutang kira-kira RM260,000 dipercayai berpunca daripada penipuan cinta (love scam) menjadi antara pencetus tragedi empat sekeluarga yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Desa Parkcity, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 48 tahun yang juga bapa kepada dua anak dipercayai membunuh diri selepas meninggalkan nota di atas meja makan.

Menurutnya, lelaki terbabit meluahkan rasa kecewa terhadap isterinya yang didakwa masih berhubung dengan individu dipercayai scammer berkenaan, meskipun keluarga mereka sudah menanggung kerugian dan hutang yang besar.

“Dalam nota itu, isterinya dikatakan masih cuba menghubungi scammer berkenaan.

“Suspek merasakan perkara itu sudah melampau dan pada masa sama berasa malu terhadap anak-anaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki terbabit bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat milik bapanya, manakala isterinya yang berusia 47 tahun merupakan suri rumah.

Dalam perkembangan sama, bedah siasat terhadap anak perempuan pasangan itu, berusia sembilan tahun, selesai dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah hari tadi.

Fadil berkata, pemeriksaan mendapati terdapat satu luka tikaman kira-kira lima sentimeter pada bahagian leher kanak-kanak berkenaan.

“Bedah siasat terhadap mayat isteri suspek akan dijalankan selepas solat Jumaat, manakala pemeriksaan terhadap mayat suspek dijangka dilakukan esok,” katanya.

Polis turut menemukan sebilah pisau dan sepasang sarung tangan dalam sebuah laci di bilik tidur utama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

Sebelum ini, lelaki terbabit dilaporkan maut selepas terjatuh dari bangunan kondominium itu, manakala isteri dan dua anak mereka, masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun, ditemukan tidak bernyawa dalam bilik berasingan.

Ketiga-tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.

Polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.32 petang sebelum memasuki unit kediaman berkenaan dengan bantuan bomba.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BBerkaitan

Latest articles