KUALA LUMPUR: Kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke Malaysia merupakan hasil kejayaan diplomasi diraja yang memperlihatkan hubungan erat serta kepercayaan tinggi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.
​Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, persahabatan peribadi yang terjalin sejak tahun 2017 itu terus berkembang kepada pengukuhan hubungan diplomasi antara kedua-dua negara, terutamanya susulan lawatan negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada tahun 2025.
​Penganjuran F1 Grand Prix Bahrain sebelum ini berdepan ketidaktentuan akibat cabaran kalendar perlumbaan berikutan konflik bersenjata di Asia Barat, yang memerlukan penyelesaian segera demi memastikan perlumbaan berprestij berkenaan dapat diteruskan.
​”Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Raja Bahrain telah mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon kepada Yang di-Pertuan Agong.
​”Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan itu menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Federation Internationale de l’Automobile (FIA),” menurut kenyataan itu hari ini.
​Kenyataan itu menambah, hasil persefahaman berkenaan menyaksikan persetujuan berjaya dicapai untuk menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
​Langkah berkenaan secara tidak langsung mengembalikan semula saingan perlumbaan F1 ke bumi Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.
​Pengumuman Litar Sepang sebagai tuan rumah baharu bagi F1 Grand Prix Bahrain disambut baik oleh peminat sukan permotoran di Malaysia dan peringkat serantau.
​Ia sekali gus mencipta lembaran sejarah tersendiri yang mencerminkan keunggulan diplomasi diraja antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad.










