SERI KEMBANGAN: Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan disemadikan di Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya, bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata keputusan lokasi pengebumian itu dibuat keluarga Allahyarhamah, manakala kerajaan turut mengatur persiapan bagi memberikan penghormatan terakhir menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Katanya, arahan sudah diberikan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) bagi memastikan segala persiapan istiadat berkenaan dilaksanakan dengan sewajarnya.
“Susulan keputusan keluarga, jenazah Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya.
“Sekretariat Persekutuan bagi Istiadat, Persidangan dan Hubungan Antarabangsa (BIUPA) memaklumkan kepada saya bahawa Allahyarham Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Allahyarham Endon,” katanya kepada media, hari ini.
Allahyarham Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi tadi.
Allahyarhamah meninggalkan suami, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta ahli keluarga dan waris.










