KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai insan yang lembut dalam tutur kata, namun memiliki ketabahan dan kekuatan jiwa.
Anwar dan Dr Wan Azizah berkata, mereka akan terus mengenang Allahyarhamah yang mesra disapa sebagai ‘Kak Hasmah’ sebagai seorang yang mempunyai sifat keibuan serta amat dekat dengan rakyat.
Menurut mereka, pemergian tokoh berkenaan merupakan satu kehilangan besar buat negara, selain meninggalkan kenangan serta jasa yang akan terus dikenang.
“Hari ini, negara kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat. Sementalahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam, bersama segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya,” kata mereka menerusi kenyataan di laman Facebook Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Anwar dan Dr Wan Azizah turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga Allahyarhamah atas pemergian berkenaan.
Mereka turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, menerima amal bakti yang dicurahkan sepanjang hayatnya serta memberikan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan.
“Al-Fatihah,” katanya.
Dr Siti Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pagi tadi.










