10 Bekas EXCO Negeri Sembilan Diarah Pulangkan Kenderaan Rasmi

SEREMBAN: Kesemua 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (EXCO) diarahkan memulangkan kenderaan rasmi kerajaan negeri yang digunakan mereka.

Arahan itu dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) susulan penarikan balik pelantikan mereka oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 20 September lalu.

Bekas EXCO Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Asna Amin, mengesahkan beliau menerima surat berhubung arahan berkenaan daripada pejabat SUK hari ini.

“Sejak pewartaan itu, saya tidak menggunakan kenderaan rasmi tetapi hari ini memang menerima surat daripada SUK berhubung arahan memulangkan semula kenderaan rasmi.

“Namun, saya tidak sempat membaca surat itu tadi,” katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan kepada pasukan polis Bukit Aman di bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), hari ini.

Mohd Asna yang juga ADUN Lenggeng berkata, beliau bersama bekas EXCO lain akan mematuhi arahan tersebut termasuk mengosongkan barangan peribadi daripada kenderaan berkenaan.

“Kami perlu mengeluarkan semua barang kami. Tidak mengapa, apa jua arahannya,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa bekas EXCO kini tidak lagi boleh memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri dan terpaksa menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dari pusat khidmat DUN masing-masing.

“Sebagai wakil rakyat, buat masa ini operasi kita di kawasan iaitu di pusat khidmat kawasan,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, sebelum ini memaklumkan bahawa bekas EXCO terbabit dilarang memasuki pejabat mereka di Wisma Negeri berdasarkan arahan lisan.

Sementara itu, Mohd Asna berkata pertemuan 25 ADUN BN dan PN Negeri Sembilan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di ibu negara malam tadi turut menyentuh kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Katanya, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian supaya pentadbiran negeri dapat terus berfungsi, khususnya menjelang pembentangan Belanjawan Negeri 2027 yang dijadualkan Disember depan.

“Belanjawan negeri semakin hampir, tinggal kira-kira dua bulan lagi. Jadi, kerajaan perlu terus berfungsi.

“Perkara ini terletak kepada MB bagaimana untuk menangani dan menyelesaikannya seperti mana Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias maklumkan malam tadi.

“Apa jua yang berlaku, kami mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Kemelut berkenaan tercetus selepas Tuanku Muhriz menarik balik pelantikan 10 EXCO pada 20 September lalu.

Pihak istana sebelum itu menyatakan tindakan berkenaan dibuat selepas EXCO terbabit didakwa melanggar sumpah taat setia yang dilafazkan dan ditandatangani mereka.

Penarikan balik pelantikan itu berlaku susulan kenyataan kontroversi membabitkan kedudukan pemerintah negeri yang dibuat EXCO berkenaan.

Pejabat Peguam Negara kemudian menyatakan proklamasi berkaitan perkara itu tidak mempunyai kesan undang-undang, sebelum penarikan balik pelantikan 10 EXCO tersebut diwartakan secara rasmi pada 24 September lalu.

BBerkaitan

Latest articles