Hantaran Lafaz Syahadah Cetus Tanda Tanya, Cikgu Chandra Minta Ruang Bertenang

SHAH ALAM: Hantaran lafaz syahadah yang dimuat naik aktivis masyarakat, S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra, di Facebook miliknya mencetuskan tanda tanya ramai apabila beliau dilihat memberi bayangan mengenai kemungkinan memeluk Islam.

Bagaimanapun, Cikgu Chandra tidak mengesahkan secara jelas status agamanya ketika ditanya media, sebaliknya meminta ruang untuk melalui tempoh bertenang bersama keluarganya.

“Insya-ALLAH, saya akan maklumkan bila tempoh bertenang saya selesai,” katanya.

Beliau pada masa sama mengakui menghormati persoalan yang dikemukakan pihak media, namun memilih untuk tidak mengulas lanjut buat ketika ini atas faktor keluarga.

“Saya menghormati persoalan yang dikemukakan oleh pihak media. Namun, saya memilih untuk menjawab Alhamdulillah pada ketika ini,” katanya memetik laporan Sinat Harian.

Sebelum ini, hantaran Cikgu Chandra yang memaparkan lafaz syahadah mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen berhubung status agamanya.

Hantaran itu memuatkan lafaz, “Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh ALLAH.”

Cikgu Chandra berkata, orang ramai bebas membuat tafsiran masing-masing terhadap perkongsian tersebut, namun beliau belum bersedia memberikan penjelasan lanjut.

Beliau turut meminta agar pendiriannya dihormati dan ruang diberikan kepadanya serta keluarga untuk membuat keputusan tanpa tekanan.

Dalam perkongsian lain, Cikgu Chandra menceritakan bagaimana beliau membesar di Alor Setar sejak kecil bersama rakan-rakan beragama Islam dan tidak pernah melihat perbezaan kaum sebagai satu perkara yang memisahkan persahabatan.

Beliau turut berkongsi beberapa pengalaman bersama rakan Muslim, termasuk menangkap ikan, menghadiri rumah rakannya yang berkhatan serta menikmati nasi kuning.

Menurutnya, satu pengalaman ketika berdepan situasi kecemasan turut meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya apabila individu pertama yang berada bersamanya ketika itu ialah seorang lelaki Melayu.

“Jadi tersebut hati saya dan berniat memeluk agama Islam. Cuma sekarang saya berjinak mengaji Al-Quran sebelum proses seterusnya,” katanya.

Perkongsian berkenaan sekali gus menambahkan persoalan mengenai perjalanan peribadi Cikgu Chandra, namun beliau jelas mahu perkara itu diberikan ruang dan masa sebelum sebarang pengumuman dibuat.

BBerkaitan

Latest articles