KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan ujian ekonomi yang jauh lebih rumit daripada sekadar memerangi rasuah, terutamanya dalam menangani struktur gaji rendah dan jurang pendapatan rakyat yang berlarutan berdekad-dekad.
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bekas Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Dr Mahathir Mohd Rais menegaskan, amalan gaji murah dan ketidakseimbangan pendapatan adalah warisan struktur ekonomi lalu yang memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar janji politik atau tindakan undang-undang semata-mata.
Mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menetapkan RM3,100 sebagai gaji minimum, Dr Mahathir menjelaskan bahawa angka berkenaan munasabah sebagai penanda aras gaji kehidupan, terutamanya di kawasan bandar seperti Lembah Klang.
“Data Mac 2026 menunjukkan 10 peratus pekerja formal terendah menerima RM1,700 atau kurang sebulan, manakala kelompok 10 peratus teratas meraih sekurang-kurangnya RM11,500. Ini membuktikan jurang pendapatan yang sangat besar.
“Namun, menaikkan gaji minimum secara drastik daripada RM1,700 terus kepada RM3,100, iaitu lonjakan sebanyak 82.4 peratus, boleh merencatkan keseluruhan struktur gaji dan memberi impak besar kepada majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menambah bahawa isu utama bukan sekadar kadar gaji minimum yang rendah, tetapi tangga gaji yang bergerak terlalu perlahan bagi pekerja berperingkat senior.
Dr Mahathir memetik perbezaan ketara median gaji formal mengikut negeri, di mana Kuala Lumpur mencatatkan RM4,527 berbanding Kelantan (RM1,827), Perlis (RM1,855) dan Sabah (RM2,082).
Menurutnya, memandangkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merangkumi lebih 96 peratus daripada pertubuhan perniagaan negara, kenaikan kos operasi secara mendadak berisiko menyebabkan pengurangan pekerja atau penutupan perniagaan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar syarikat besar dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC/GLC) memulakan langkah gaji kehidupan RM3,100 terlebih dahulu, manakala sektor PMKS diberikan bantuan berperingkat menerusi insentif automasi, latihan dan pelepasan cukai.
Menyentuh aspek tadbir urus dan rasuah, Dr Mahathir memberikan kredit kepada ketegasan Perdana Menteri dalam mengarahkan siasatan telus membabitkan institusi penting Melayu seperti Tabung Haji dan Felda, selain isu legasi 1MDB.
“Rasuah dan kebocoran dana awam mengurangkan ruang fiskal kerajaan. Setiap ringgit yang tiris sepatutnya boleh disalurkan kepada kemudahan asas, sekolah, hospital, pengangkutan awam dan bantuan rakyat.
“Siasatan ke atas bekas pegawai kanan dan individu berkepentingan adalah langkah betul.
“Namun, ukuran kejayaan sebenar pentadbiran hari ini bukan sekadar pada berapa banyak siasatan dibuka atau berapa ramai ditangkap, tetapi sejauh mana institusi dapat dibaik pulih agar wang rakyat selamat dan perubahan ekonomi sampai ke slip gaji pekerja.
“Matlamat utama negara kini adalah membina ekosistem ekonomi yang berupaya membayar gaji setimpal tanpa menekan peniaga atau membiarkan pekerja terus dihimpit kos sara hidup,” jelasnya.










