GURUN: Belum pun reda insiden letupan bom yang mengorbankan dua anggota tentera bulan lalu, Kem Hobart sekali lagi mencatatkan kejadian melibatkan latihan apabila dua anggota cedera dipercayai akibat masalah teknikal pada senjata yang digunakan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.05 petang Isnin ketika latihan menembak dijalankan di kem berkenaan.
Menurut beliau, mangsa pertama ialah seorang jurulatih berpangkat Sarjan berusia 35 tahun yang mengalami kecederaan pada paha kanan berhampiran lutut dan menerima lapan jahitan.
Seorang lagi mangsa, anggota berpangkat Koperal berusia 29 tahun yang bertindak sebagai penembak, cedera di bahagian pangkal lutut kiri dan kini masih menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Adzli menjelaskan siasatan awal mendapati senjata yang digunakan mengalami stoppage atau kegagalan berfungsi ketika latihan berlangsung.
“Anggota terbabit telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengosongkan senjata serta meletakkannya dalam keadaan selamat. Namun ketika pemeriksaan lanjut dilakukan, satu komponen pada senjata itu tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan kedua-dua anggota cedera,” katanya ketika ditemui pemberita di Pondok Polis Jeniang pada Selasa.
Beliau berkata, pemeriksaan doktor mengesahkan kecederaan dialami kedua-dua mangsa bukan berpunca daripada tembakan peluru.
Difahamkan, latihan berkenaan disertai kira-kira 300 anggota dari sebuah kem di Perlis yang bermula pada 28 Jun dan dijadualkan berakhir Khamis ini.
Program latihan itu merangkumi beberapa fasa termasuk pengendalian senjata ringan dan berat.
Menurut Adzli, pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pakar persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menjalankan siasatan serta pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960.
Mengulas insiden letupan bom yang meragut nyawa dua anggota tentera di Kem Hobart pada 16 Jun lalu, Adzli berkata siasatan polis telah selesai dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut membabitkan aspek teknikal berkaitan letupan itu kini diserahkan sepenuhnya kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia.










